I just finished editing the Bulletin of my community and wd like to share this one article forwarded by one of the ustazss/writers. :
Persiapan beramal pada sepuluh hari pertama Zulhijjah
Kita telahpun masuk fasa pertama daripada sepuluh hari di bulan Zulhijjah, iaitu bulan kemuncak pelaksanaan ibadat haji yang menghimpunkan jutaan muslim dari seluruh pelusuk dunia di tanah suci Makkah dan Madinah, bulan Zulhijjah mempunyai keistimewaan tersendiri yang menjanjikan begitu banyak pahala agar ia mengatasi koleksi dosa yang dilakukan oleh manusia sepanjang setahun.
Sesungguhnya bagi muslim dan muslimah, terdapat banyak cara untuk mendapatkan pahala yang dijanjikan untuk diraih dengan sebaik-baiknya, ia terpulang kepada mereka sejauhmana kesungguhan untuk mendapatkannya. Justeru dalam perbincangan kali ini, beberapa persoalan mengenai sepuluh pertama Zulhijjah merangkumi pelbagai dimensi bagi meraih pahala yang diperkatakan.
Kelebihan sepuluh hari pertama Zulhijjah dan persoalan beramal padanya
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Tidak ada hari yang paling baik dilakukan amal padanya di sisi Allah daripada sepuluh hari pertama (Zulhijjah).” Para sahabat bertanya : Tidakkah berjihad pada jalan Allah lebih baik. Tegas baginda : “Walaupun berjihad pada jalan Allah, melainkan seseorang itu keluar dengan penuh ikhlas jiwa raganya dan hartanya yang tidak mengharapkan sesuatu melinkan (keredaan Allah).” Hadis riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas r.a.
Hadis berkenaan menunjukkan kelebihan sepuluh hari pertama Zulhijjah jika dibandingkan dengan hari-hari lain yang terdapat sepanjang tahun, itulah hakikatnya kerana ia telah dinyatakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. agar umat Islam berusaha untuk melakukan amalan-amalan yang mengandungi pahala yang banyak.
Amalan-amalan yang bersifat ucapan/berzikir atau perbuatan pada hari-hari tersebut akan diganjari pahala yang banyak berlipat kali ganda, kerana ia adalah musim beribadat yang baik, iaitu musim mengajak manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan mengambil peluang seluas-luasnya menambahkan ketaatan, membuktikan nikmat iman dan takwa kepada-Nya.
Tetapi apakah amalan yang dianjurkan untuk dibuat pada hari-hari tersebut?
Amal soleh itu adalah perbuatan yang mendatangkan kebaikan. Kerana sebenarnya setiap manusia itu adalah bersaudara. Adalah tugas kita untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang dapat membuat saudara kita kehidupannya lebih baik, dunia dan akhirat.
Amal soleh merupakan apa sahaja amal orang Islam yang meliputi gerak hati (termasuk akal) pengucapan lisan dan perlakuan anggota tubuh badan (termasuk pancaindera) mengikut syariat islam. Amal itu dengan:
Niat yang ikhlas kerana Allah SWT..
Mengikut rukun, syarat dan cara yang betul.
Tidak dicampuri oleh perkara maksiat dan perkara-perkara yang membatalkannya atau merosakkannya.
Sesungguhnya mereka yang beramal dengan amal-amal soleh adalah golongan yang tidak rugi di dunia dan akhirat, kerana golongan ini telah disifatkan Allah dalam ayat-Nya yang terkandung dalam surah al-‘Asr maksudnya :
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Sepuluh hari pertama Zulhijjah terdapat amalan yang baik antaranya :
1-
Memperbanyakkan solat-solat sunnat (apatah lagi memohon munajat kepada Allah agar menganugerahkan kejayaan kepada anak-anak dalam menghadapi peperiksaan SPM, juga buat anak-anak yang telah menduduki peperiksaan PMR, UPSR, PSRA, SMU/SMA dan lain-lain) juga bermohon agar dijadikan Allah sebagai hamba-hambaNya yang taat dan bertakwa kepada-Nya). Bagi yang mengerjakan haji hendaklah banyak berdoa agar dianugerahkan Allah dengan haji yang mabrur, supaya pulang ke tanah air menjadi hamba Allah yang paling bertakwa di sisi-Nya. Kerana haji yang mabrur tidak ada balasan melainkan syurga, malah haji mabrur juga adalah amalan yang terbaik selain beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan Allah.
2- Banyak bersedekah, membaca al-Quran, duduk dalam majlis-majlis fardu ‘ain, menyantuni kedua ibu bapa, menghubungkan silaturrahim, melakukan taubat Nasuha, suka menasihati orang lain, mengingatkan orang Islam perkara yang makruf dan mencegah mereka daripada melakukan yang mungkar.
3- Banyak berzikir seperti membaca ‘Ma’thurat’, bertakbir, bertasbih dan lain-lain.
4- Memperbanyak istighfar dan berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.
5- Berpuasa sunnat khususnya pada hari wukuf walaupun tidak ada dalil khusus mengenainya, malah dianggap oleh sesetengah ulama’ sebagai puasa yang amat digalakkan untuk dilakukan. Puasa tersebut menurut satu riwayat ketika Nabi ditanya mengenainya, baginda menegaskan bahawa puasa pada hari wukuf di Arafah menghapuskan dosa setahun lalu dan setahun yang akan datang. Riwayat Imam Muslim dengan derajat hadis yang Sohih.
6- Mengerja serta menyegerakan haji dan umrah.
7- Melakukan ibadat korban dengan tidak meringan-ringankan hukumnya. Sesungguhnya iabadat korban adalah di antara amalan yang terbaik kerana ia merupakan amalan Nabi Ibrahim a.s. dan diteruskan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. Justeru dalam satu riwayat menyabut, bahawa baginda s.a.w. ketika mentap di Madinah selama sepuluh tahun melakukannya sebanyak sepuluh kali, iaitu melakukannya pada tipa-tiap tahun. Maksud Hadis riwayat Imam Ahmad dan at-Tirmizi dengan sanad yang Hasan.
8- Menampilkan akhlak yang terbaik, bersikap renda diri, berkomunikasi dengan positif sesama manusia lebih-lebih lagi di kalangan orang-orang yang beriman.
9- Melaksanakan syiar-syiar agama Allah, bagi muslimat dengan memakai pakaian yang benar-benar menutup aurat dan sempurna termasuk memakai tudung kepala, kerana ia adalah perintah Allah SWT, begitulah juga menjalankan tugas ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’ kerana ia adalah amalan yang dilakukan sendiri oleh baginda Rasulullah s.a.w. sepertimana yang difirmankan Alla menerusi ayat 30 surah al-Haj : “Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya.” Dan juga menerusi ayat 32 surah yang sama maksudnya : “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”
Menurut setengah pandangan ulama’, syiar-syiar agama Allah itu memberi maksud menyatakan zahir agama dalam bentuk pelaksanaan, dan Allah menjadikan kemuliaan dan penghormatan kepada syiar-syiar itu sebagai rukun takwa dan syarat menerima sesuatu amal ibadat dengan memelihara dan menghormati peraturan-peraturan yang terkandung dalam al-Quran, menghormati ulama’ menghormati dan menjaga Baitullah serta memelihara solat-solart fardu.
10- Bercakap dengan ungkapan yang berisi nasihat atau bimbingan serta beramal soleh merupakan pra syarat terkabul amalan di sisi Allah seperti yang ditegaskan-Nya menerusi ayat 10 surah Fatir : ‘Kepada-nya (Allah) sampai perkataan-perkataan yang baik (kalimat Tauhid) dan amal soleh disampaikan kepada-Nya.”
11-Istiqamah dalam agama dengan terus beramal dan melakukan perintah serta meninggalkan perkara yang terlarang adalah punca amalan diterima.
12- Konsisten dalam beramal secara berterusan walaupun sedikit, ia bertepatan dengan penjelasan baginda
Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud :
Sebaik-baik amalan di sisi Allah ialah yang bersifat berterusan walaupun sedikit.
Andalah sebagai hakim untuk memastikan masa depan di akhirat lebih terjamin untuk mendapatkan syafaat baginda Rasulullah s.a.w ketika ada di kalangan manusia yang tercicir namanya dalam senarai mereka yang dimasukkan dalam syurga Allah yang kekal abadi dengan segala nikmat yang membahagiakan.